KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan kekecohan dan salah faham di kalangan peminat malam Ahad lalu, akhirnya terjawab. Zaiton Sameon sebenarnya bukan peserta Gegar Vaganza 12 (GV12) seperti yang ramai sangkakan.
Teruskan MembacaRamai penonton menyangka penyanyi legenda itu muncul sebagai peserta ke-14 GV12 selepas diumumkan di pentas utama, namun pihak produksi menjelaskan bahawa Zaiton hanyalah artis jemputan khas bagi segmen baharu yang diperkenalkan musim ini.
Menurut kenyataan rasmi, Zaiton tampil dalam segmen “Lejen Lanjer”, iaitu slot khas yang menampilkan penyanyi-penyanyi legenda tanah air bagi mengimbau kenangan dan menghargai sumbangan mereka dalam industri muzik tempatan.
“Segmen ini diwujudkan untuk meraikan figura-figura hebat yang telah banyak berjasa dalam dunia seni suara negara,” jelas wakil produksi.
Walaupun bukan bertanding secara rasmi, kemunculan Zaiton tetap mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton di Dewan MBSA, Shah Alam, yang teruja melihat penyanyi Menaruh Harapan itu kembali menggegarkan pentas besar.
Malah, ramai netizen di media sosial turut berkongsi rasa kagum dan sebak melihat Zaiton tampil dengan penuh semangat, menandakan beliau masih punya aura dan karisma tersendiri walau sudah lama tidak aktif di pentas hiburan.
Dengan kehadiran segmen “Lejen Lanjer” ini, GV12 bukan sekadar medan pertandingan, tetapi juga wadah untuk menghargai perjalanan karier dan jasa penyanyi-penyanyi legenda yang pernah mewarnai dunia muzik tempatan.
Walaupun Zaiton bukan peserta, satu yang pasti pentas GV12 tetap bergetar dengan aura beliau!
















