Keputusan AirAsia membenarkan kru kabin wanita memakai hijab ketika bertugas terus mendapat perhatian ramai, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyifatkan langkah itu sebagai satu keputusan yang berani, progresif dan wajar dipuji.
Teruskan MembacaMenurut beliau, perubahan dasar ini membuktikan AirAsia semakin prihatin terhadap hak pekerja, khususnya wanita Muslimah yang mahu menunaikan tuntutan agama tanpa perlu berkompromi dengan kerjaya.
“Saya ucapkan tahniah kepada AirAsia kerana memperkenalkan dasar pakaian seragam yang lebih inklusif dan menghormati kepelbagaian kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para asatizah dan individu yang terlibat dalam perbincangan bersama pihak AirAsia sehingga dasar ini berjaya direalisasikan.
Difahamkan, dasar baharu ini dijangka mula dilaksanakan pada suku pertama tahun 2026 dan diharap menjadi penanda aras kepada syarikat lain untuk lebih peka terhadap kebebasan beragama di tempat kerja.
Malah, Dr Mohd Na’im turut berkongsi peringatan daripada al-Quran sebagai panduan dalam mengurus perbezaan dalam masyarakat majmuk.
“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk,” katanya, memetik Surah An-Nahl ayat 125.
Beliau berharap keputusan AirAsia ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja Muslimah, malah memperkukuh semangat keharmonian dan saling menghormati dalam dunia pekerjaan.















