Situasi banjir di Pantai Timur kini semakin membimbangkan apabila lebih 9,000 penduduk dilaporkan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dengan Pahang mencatat jumlah mangsa paling tinggi setakat ini.
Di Pahang sahaja, seramai 8,381 mangsa daripada hampir 3,000 keluarga kini berlindung di 69 PPS selepas hujan lebat berterusan menyebabkan banyak kawasan perumahan dinaiki air. Kuantan antara daerah paling terjejas, termasuk kawasan Taman Guru yang dilaporkan dinaiki air dengan pantas.
Teruskan MembacaKeadaan ini memaksa penduduk, termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan, dipindahkan segera dengan bantuan pihak berkuasa serta sukarelawan yang bertungkus-lumus sejak awal kejadian.
Di Terengganu pula, seramai 468 penduduk telah dipindahkan ke PPS selepas air mula melimpah ke kawasan rendah. Johor juga tidak terkecuali apabila PPS baharu dibuka di Mersing bagi menempatkan lebih 120 penduduk, menjadikan keseluruhan mangsa banjir di negeri itu seramai 347 orang.
Dalam masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan di Pantai Timur sehingga hujung minggu ini. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan situasi banjir boleh menjadi lebih buruk dan jumlah mangsa berkemungkinan terus meningkat.
















