SABAN tahun penghujung Januari, World Economic Forum (WEF), Davos menjadi perkampungan pemimpin-pemimpin dunia membincangkan ehwal ekonomi global berlandaskan beberapa tema utama.
Selang sehari lagi, pada 20-24 Januari ini, sekitar 350 pemimpin dunia dijangka menghadiri WEF 2025, antaranya adalah Perdana Menteri kita beserta delegasi Malaysia.
Teruskan MembacaSemoga penyertaan Malaysia memberi manfaat pada kita semua. Pastinya semua akan pulang ke tanah air dengan ilham dan iltizam baharu untuk menjayakan ekonomi negara agar semakin baik.
Inflasi
Pemimpin dan ahli ekonomi cenderung menyimpulkan ekonomi semakin baik apabila kadar pertumbuhan ekonomi meningkat, kadar pengangguran menurun, kadar inflasi rendah dan terkawal, kadar tukaran stabil atau mengukuh, pelaburan meningkat, dan beberapa lagi petunjuk makro prestasi ekonomi.
Mutakhir, antara yang dilaporkan, kadar pertumbuhan ekonomi sukuan ketiga 2024 mencecah 5.3 peratus dan ekonomi negara dijangka tumbuh 4.8 peratus untuk tahun 2024. Kadar pengangguran kini ditahap 3.2 peratus, rendah, dengan hanya 547,000 dari tenaga kerja menganggur. Kadar inflasi juga rendah dan terkawal, 1.8 peratus. Malaysia dilapor berjaya mengekang kenaikan inflasi.
Kadar tukaran ringgit kini mengukuh, sekitar RM4.50 per USD, berbanding tahap RM4.80 per USD sekitar bulan Februari 2024. Yang sering dilaporkan juga ialah peningkatan pelaburan (yang diluluskan). Untuk sembilan bulan pertama 2024 Malaysia telah menerima RM254.7 bilion, merangkumi pelaburan asing (FDI) sebanyak RM106.7 bilion dan RM148 bilion dari pelaburan domestik (DDI). Prestasi ekonomi memberangsangkan, semakin baik. Tahniah.
Sampai ke poket pekerja?
Bagaimana pula kepada seorang rakyat Malaysia yang bekerja untuk menyara kehidupan diri dan keluarga, i.e. ‘Joe on the street’. Angka-angka prestasi ekonomi makro yang memberangsangkan ini sedap didengar, teruja kita. Namun, selagi ianya tidak sampai ke poket pekerja, ramai yang mungkin masih sangsi.
Prestasi ekonomi yang baik adalah berita gembira, namun pada rakyat di bawah, ianya ‘mesti’ diterjemahkan dengan peningkatan pendapatan individu.
Ini adalah antara cabaran utama negara kita. Prestasi ekonomi yang memberangsangkan belum cukup menjanjikan ianya menebalkan poket rakyat. Belum tentu rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa.
Pertumbunan ekonomi dan prestasi ekonomi makro ‘mesti’ dicapai tetapi belum ‘mencukupi’ untuk menjamin kehidupan yang lebih selesa. Dalam ilmu ekonomi, sering diungkap sebagai ‘necessary but not sufficient’, perlu berlaku tetapi belum mencukupi.
Kurang RM3,000 sebulan
Bagaimana dengan anda? Adakah anda ‘merasai’ prestasi ekonomi yang semakin baik ini? Berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Formal) bagi suku kedua 2024, gaji penengah seorang warganegara pekerja sektor formal ialah RM2,745 sebulan. Taburan gaji pekerja sektor formal ini jelas ‘terherot’ ke kiri. Sekitar 53.8 peratus menerima gaji kurang dari RM3,000. Mungkin pada mereka, prestasi ekonomi tidak membawa erti yang diharapkan.
Hanya tiga buah negeri/wilayah iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, yang merekodkan gaji penengah lebih tinggi dari gaji penengah negara (RM2,745), iaitu Kuala Lumpur (RM3,982), Selangor (RM3,000) dan Pulau Pinang (RM2,800). Tiga negeri terendah ialah Perlis (RM1,682), Kelantan (RM1,645) dan Sabah (RM1,864). Manfaat kemajuan ekonomi seolah tidak pergi jauh, hanya tertumpu dibeberapa negeri utama.
Berdasarkan umur, kemuncak gaji penengah ialah pada peringkat umur 45-49, iaitu RM3,627. Bagi kumpulan yang baharu masuk ke alam pekerjaan, dengan andaian umur mereka di julat 20-24 tahun, gaji penengah hanyalah RM1,782. Hampir sama dengan gaji minimum yang akan berkuatkuasa Februari 2025 ini.
Cukupkah tahap gaji ini untuk membolehkan kehidupan yang selesa pada tahap umur yang berkaitan? Membimbangkan.
Kerajaan perlu memberi tumpuan yang lebih khusus bagi menangani ehwal gaji dan upah ini. Mengapa prestasi ekonomi yang memberangsangkan tidak sampai ke poket rakyat?
Kaji punca gaji rendah
Mengapa gaji di Malaysia terherot ke kiri, rendah dan malar? Benarkah kualiti dan produktiviti pekerja menjadi penghalang utama? Adakah puncanya di sebelah penawaran, kualiti pendidikan dan latihan?
Adakah puncanya lebih dari faktor permintaan, penciptaan pekerjaan yang rendah, khususnya pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah kebanjiran pekerja asing menjadi daya ‘tarikan ke bawah’ gaji pekerja? Mengasak keluar pekerja warga negara dalam kategori kemahiran rendah dan separa mahir?
Segera tangani ehwal ini. Berita-berita kemajuan ekonomi yang memberangsangkan perlu sampai manfaatnya kepada rakyat. Saya amat yakin gundah gelana rakyat keatas tekanan kos sara hidup banyak berpunca dari gaji dan upah yang rendah, bukan harga produk dan perkhidmatan yang mahal.
Dikaca mata masyarakat global, kos sara hidup di Malaysia adalah rendah, ditangga ke 105 dari 139 buah negara. Malaysia dalam kategori negara yang murah! Sebaliknya, agak malang untuk sebahagian besar rakyat, kos sara hidup dirasakan tinggi, mengesani kuailiti kehidupan mereka.
Davos akan membincangkan ehwal global yang lebih canggih, mungkin. Kita mesti terlibat. Moga dapatan di Davos akan membuahkan hasil yang dirasai oleh pemimpin dan juga setiap rakyat.
***Penulis adalah ahli akademik dan ahli ekonomi. Beliau sering terlibat dalam pelbagai forum ekonomi serta menerbitkan penulisannya di pelbagai bahan bacaan