Impian penyanyi Ariff Bahran untuk membawa kumpulan legenda Indonesia, Sheila On 7, membuat persembahan di Malaysia akhirnya berkubur apabila dia terpaksa menelan kerugian besar mencecah RM425,000 selepas dipercayai ditipu oleh pihak penganjur.
Teruskan MembacaKisah malang itu dikongsikan Ariff dengan penuh emosi, mendedahkan bahawa perancangan membawa Sheila On 7 ke Malaysia bukan dibuat secara tergesa-gesa. Sebaliknya, ia dirancang hampir setahun bersama beberapa rakan yang turut sama melaburkan wang dan tenaga demi merealisasikan konsert impian tersebut.
Namun apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Wang yang telah diserahkan kepada penganjur gagal dikembalikan, malah projek konsert tersebut terus senyap tanpa sebarang penyelesaian. Lebih menyedihkan, kesan penipuan itu bukan hanya menimpa Ariff seorang, tetapi turut memberi impak besar kepada rakan-rakannya.
Menurut Ariff, ada rakan yang berdepan masalah kewangan serius sehingga rumah tangga terjejas, kereta ditarik dan paling menyayat hati, ada yang terpaksa menggadai emas demi menampung kerugian.
Perkongsian tersebut dibuat bukan untuk meraih simpati, sebaliknya Ariff berharap kisah ini menjadi pengajaran kepada orang lain agar lebih berhati-hati dalam urusan penganjuran acara, terutamanya apabila melibatkan jumlah wang yang besar dan kepercayaan terhadap pihak tertentu.
Dalam masa sama, Ariff mengakui pengalaman pahit ini menjadi satu tamparan hebat dalam hidupnya, namun dia memilih untuk bangkit dan menjadikan kejadian ini sebagai pengajaran paling mahal dalam perjalanan kerjaya dan perniagaannya.
Kisah Ariff Bahran ini sekali lagi membuka mata ramai tentang realiti dunia penganjuran konsert, di sebalik gemerlapan pentas dan sorakan penonton, tersimpan risiko besar yang tidak semua orang sanggup hadapi.
















