Peminat filem dan muzik era 90-an, bersedia untuk malam paling ‘throwback’ tahun depan! Tiga nama besar yang pernah ‘menghantui’ layar perak dan radio. Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain akhirnya kembali bersatu dalam sebuah konsert istimewa berjudul Sembilu The Reunion Live In Concert.
Teruskan MembacaKonsert ini dijangka bukan sekadar hiburan biasa, tapi satu perjalanan penuh emosi yang akan membawa penonton kembali ke zaman cinta, air mata dan lagu-lagu ikonik yang pernah jadi siulan ramai.
Lebih menarik, trio legenda ini akan berkongsi satu pentas pada 7 Februari 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil, lokasi yang cukup ‘grand’ untuk kebangkitan nostalgia besar-besaran.
Menurut penganjur, konsert ini bakal menghidangkan lebih 20 lagu malar segar yang sinonim dengan filem “Sembilu” dan kerjaya seni mereka. Semuanya akan dipersembahkan dalam susunan muzik baharu dengan visual pentas berkonsepkan sinematik, memang sesuai untuk mereka yang nak ‘feel’ zaman VHS dan kaset pita.
Bagi peminat, ini bukan sekadar melihat artis kegemaran menyanyi, tetapi peluang untuk menghidupkan semula memori lama, kisah cinta zaman sekolah, lagu dimainkan dalam kereta buruk ayah, dan filem yang ditonton berulang kali.
Erra, Awie dan Ziana juga dilaporkan teruja untuk kembali bersama selepas sekian lama membawa haluan masing-masing. Mereka mahu konsert ini menjadi hadiah buat peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong sejak dahulu.
Tiket pula akan mula dijual tidak lama lagi, jadi peminat dinasihatkan untuk bersedia awal kerana konsert nostalgia seperti ini biasanya ‘licin’ dalam sekelip mata.
Satu perkara yang pasti, malam Februari 2026 nanti, air mata, senyuman dan kenangan lama bakal bersatu dalam satu pentas.
















