BANGKOK: Stadium Thammasat University Rangsit malam tadi jadi saksi detik membanggakan buat sukan negara apabila beregu wanita kebanggaan Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah, berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA 2025.
Teruskan MembacaDalam perlawanan akhir yang cukup mendebarkan, Pearly-Thinaah menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Meilysa Trias Puspitasari, menerusi pertarungan tiga set dengan keputusan 21-16, 19-21, 21-17.
Aksi mereka bukan sekadar menang, malah penuh semangat dan keserasian padu yang membuatkan sorakan penonton bergema sepanjang perlawanan. Setiap mata dipertaruhkan dengan penuh fokus, jelas menunjukkan mental juara yang dimiliki pasangan negara ini.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas mereka melalui laluan sukar di separuh akhir apabila berdepan satu lagi gandingan Indonesia, Rachel Allesya dan Febi Setianingrum, dalam perlawanan berlarutan hampir satu jam setengah.
Apa yang lebih mengagumkan, Pearly tetap turun beraksi walaupun tidak berada pada tahap kesihatan terbaik, membuktikan semangat juang tinggi demi negara.
Untuk rekod, tahun 2025 memang tahun gemilang buat Pearly-Thinaah apabila mereka sudah mengumpul beberapa gelaran antarabangsa termasuk Thailand Open, Arctic Open dan Japan Masters, selain muncul naib juara Kejohanan Dunia.
Dalam saingan badminton Sukan SEA kali ini, Malaysia menyasarkan empat emas, namun hanya dua berjaya diraih menerusi Pearly-Thinaah dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Walaupun begitu, kejayaan ini tetap menjadi momen manis yang membanggakan peminat sukan tanah air.
















