Akhirnya yang dinanti-nantikan ARMY seluruh dunia jadi kenyataan! Kumpulan K-pop paling berpengaruh, BTS, secara rasmi mengumumkan kemunculan semula mereka bersama jelajah dunia mega bagi tahun 2026 hingga 2027, selepas hampir empat tahun berehat susulan komitmen perkhidmatan ketenteraan wajib.
Teruskan MembacaJelajah berskala besar itu dijadual bermula April 2026 di Korea Selatan sebelum berakhir sekitar Mac 2027, merangkumi lebih 70 persembahan di pelbagai benua termasuk Asia, Amerika Utara & Selatan, Eropah serta Australia.
Ini juga bakal menjadi konsert dunia pertama BTS sejak jelajah Permission to Dance on Stage (2021–2022), sekali gus menandakan kepulangan rasmi mereka ke pentas antarabangsa yang dinanti jutaan peminat setia, ARMY.
Berita paling menggembirakan buat peminat tempatan, Kuala Lumpur turut tersenarai sebagai hentian jelajah, dengan dua malam konsert dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2026. Difahamkan, sambutan hangat di rantau Asia Tenggara menjadi antara faktor KL dipilih sebagai destinasi.

Bagi pembelian tiket, peminat yang mempunyai keahlian rasmi ARMY boleh menikmati jualan presale pada 22 dan 23 Januari menerusi platform Weverse, manakala jualan umum akan dibuka bermula 24 Januari.
Pengumuman ini hadir selepas BigHit Music mengesahkan BTS akan kembali aktif sepenuhnya dalam industri muzik bermula 20 Mac 2026, selepas kesemua tujuh ahli – RM, Jin, Suga, j-hope, Jimin, V dan Jung Kook, menamatkan perkhidmatan ketenteraan wajib masing-masing. Suga menjadi ahli terakhir yang menamatkan khidmat sebagai ejen perkhidmatan sosial pada Jun 2025.
Selain Kuala Lumpur, antara bandar lain yang bakal menerima kunjungan BTS termasuk Tokyo, Bangkok, Singapore, Jakarta, Manila, London, Paris, Madrid, Los Angeles, Mexico City, Melbourne dan Sydney.
Nampaknya, Disember 2026 bakal jadi bulan paling dinanti ARMY Malaysia!
















