Pelakon popular, Nur Fazura, mengejutkan peminat apabila mengumumkan keputusan untuk berehat daripada lakonan drama bersiri di televisyen tempatan.
Menurut Fazura, keputusan itu dibuat selepas memikirkan beberapa perkara penting dalam hidupnya, terutamanya untuk memberi lebih masa dan perhatian kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia enam tahun.
Teruskan Membaca“Buat masa ini, saya memang secara rasmi tidak lagi berlakon drama di semua stesen TV tempatan. Saya sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya ambil pendekatan bercakap dengan beralas,” katanya.
Bagaimanapun, Fazura menjelaskan pintu untuk dunia perfileman masih terbuka luas. Malah, beliau kini lebih memberi fokus kepada projek filem, sama ada di Malaysia atau Indonesia, bergantung kepada kesesuaian tawaran.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menghadiri pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 pada Khamis, di mana Fazura turut berkongsi berita mengenai kolaborasi eksklusif bersama Jakel bagi Koleksi Raya 2026 menerusi akaun Instagram rasminya.
Setelah lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, Fazura mengakui kekangan masa serta komitmen panjang dalam penggambaran drama menjadi antara faktor utama keputusan tersebut.
Untuk peminat setia, ini mungkin bukan pengakhiran, tetapi sekadar satu fasa baharu dalam perjalanan kerjayanya.
















