Berita baik buat para pelajar! Karnival FLYSiswa 2026 bakal berlangsung pada 13 Januari ini di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Teruskan MembacaProgram yang bermula dari 9 pagi hingga 4 petang ini dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan menjadi peluang terbaik untuk pelajar dapatkan info lengkap mengenai subsidi tiket penerbangan yang ditawarkan kerajaan.
Menerusi inisiatif FLYSiswa, pelajar yang layak boleh menerima baucar digital bernilai RM400 untuk pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi, khususnya bagi laluan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Karnival ini terbuka kepada pelajar IPTA, politeknik, kolej komuniti, matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG). Selain sesi penerangan, turut disediakan kaunter informasi untuk pelajar bertanya terus tentang syarat kelayakan, cara tuntutan dan proses penggunaan baucar bagi tahun 2026.
Menurut MOT, sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program FLYSiswa telah membantu puluhan ribu pelajar pulang ke kampung halaman dengan kos yang lebih rendah, dan sambutan terhadap program ini terus meningkat setiap tahun.
Jadi, bagi pelajar yang nak balik kampung dengan lebih jimat atau masih keliru tentang cara guna subsidi ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke Karnival FLYSiswa 2026 dan dapatkan maklumat terus daripada pihak berwajib.















