Terkini

Kontraktor didakwa di mahkamah punca kematian Zuhal dan Marikh

SEORANG kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, Perak atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian dua beradik pada minggu lalu. 

Tertuduh, Lee Kin Peng, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut. 

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan cara berbahaya sehingga mengakibatkan kematian mangsa, Ahmad Zuhal Norazlan, 17, dan Ahmad Marikh Norazlan, 13. 

Memetik Bernama, Kin Peng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di Kilometer 38 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di sini, antara jam 7 hingga 7.15 pagi 5 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary, mencadangkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap dua minggu, lesen memandu digantung, pasport diserahkan kepada mahkamah, dan tidak boleh mendekati saksi kes.

Peguam, S Morgan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu ikat jamin RM5,000 untuk kedua-dua pertuduhan, dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM2,000 sebulan, selain sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang masih belajar.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 secara kolektif untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu, tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, dengan pasport diserahkan kepada mahkamah, dan dilarang mengganggu saksi kes.

Mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 5 April lalu, media melaporkan dua beradik itu maut apabila motosikal ditunggang mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian langgar lari di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, dipetik berkata kemalangan berlaku ketika kedua-dua mangsa berusia 13 dan 17 tahun dalam perjalanan ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top