Kisah kehilangan pelakon Nadia Kesuma selepas tiba di Jeddah akhirnya terungkai apabila beliau disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung pada Khamis lalu.
Teruskan MembacaPerkara sedih itu dikongsikan sendiri oleh anak perempuan arwah menerusi satu hantaran di aplikasi Threads. Menurutnya, ibunya yang bernama penuh Nadiah Kasumawati Abdul Karim menghembuskan nafas terakhir pada 15 Januari kira-kira jam 8.05 pagi waktu tempatan.
Dalam hantaran tersebut, anak arwah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak henti-henti mendoakan ibunya sejak berita kehilangan itu tersebar. Dia juga memohon agar orang ramai terus mendoakan kesejahteraan arwah dan semoga rohnya dicucuri rahmat.
Difahamkan, Nadia mengalami masalah kesihatan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah sebelum dikejarkan ke hospital pada hari yang sama. Bagaimanapun, pihak keluarga hanya dimaklumkan mengenai pemergian arwah lewat malam oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan umrah tersebut.
Berita pemergian Nadia turut disahkan oleh suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah serta sahabat baiknya yang juga pelakon, Anne Abdullah menerusi media sosial masing-masing.
Terdahulu, Nadia Kesuma, 49, mencetuskan kebimbangan ramai apabila dilaporkan hilang dan tidak dapat dihubungi selepas tiba di Jeddah pada Rabu lalu. Arwah merupakan antara 21 jemaah yang menyertai rombongan umrah dan ziarah anjuran sebuah agensi pelancongan dari 14 hingga 28 Januari ini.
Untuk rekod, Nadia pernah membintangi beberapa karya tempatan termasuk filem Syaitan Munafik dan Kudeta, dan pemergiannya pastinya meninggalkan kesan buat rakan industri serta peminat yang mengikuti perjalanan seninya.
















