KLANG: Kerajaan terus memperkemas pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, bukan disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Teruskan MembacaMenteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara penambahbaikan yang sedang dipertimbangkan ialah memperluaskan rangkaian kedai terlibat, termasuk lebih banyak kedai runcit kecil supaya penerima bantuan lebih mudah mendapatkan barangan keperluan harian.
Bukan itu sahaja, senarai barangan SARA juga bakal ditambah, termasuk produk tempatan, bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penerima.
“Pada awalnya, hanya barangan asas sahaja. Kemudian kita tambah keperluan lain seperti ubat gigi dan barangan penjagaan diri.
“Tapi bila kita besarkan jaringan dan tambah pilihan, pemantauan pun kena lebih ketat supaya bantuan ini betul-betul sampai kepada rakyat yang layak,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Dalam pada itu, Amir Hamzah turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil mudah soal maklumat dalam permohonan bantuan kerajaan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Katanya, kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik bantuan sekiranya didapati pemohon memberikan maklumat tidak tepat atau mengelirukan.
“Kita harap perkara ini tak kerap berlaku. Tapi kalau ada permohonan yang dibuat tak sepatutnya, tindakan akan diambil,” tegasnya.
Kenyataan itu dibuat susulan tular dakwaan seorang individu masih layak menerima STR walaupun memiliki enam buah rumah sewaan yang menyebabkan pendapatannya melebihi had kelayakan.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan telah menegaskan bahawa kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan, termasuk STR, jika pemohon didapati mengemukakan maklumat yang tidak tepat dalam permohonan.














