PETALING JAYA: Berita baik buat ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bakal menunaikan ibadah haji. Bermula 1 Januari 2026, had Pengeluaran Haji dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 bagi membantu menampung kos haji yang semakin meningkat.
Teruskan MembacaMenurut KWSP, langkah ini diambil selari dengan keperluan kewangan semasa, selain memberi lebih ruang kepada ahli untuk membuat perancangan selepas menerima tawaran menunaikan haji daripada Lembaga Tabung Haji.
“Peningkatan had ini bertujuan membantu ahli memenuhi kos ibadah haji berdasarkan realiti kos semasa,” menurut kenyataan KWSP di laman rasminya.
Dalam masa sama, KWSP turut memudahkan proses permohonan apabila syarat pengesahan baki simpanan Tabung Haji dimansuhkan, sekali gus menjadikan urusan pengeluaran lebih cepat dan tidak rumit.
“Pemansuhan syarat ini membolehkan ahli merancang ibadah haji dengan lebih teratur tanpa beban pentadbiran tambahan,” jelas KWSP.
Selain pengeluaran haji, KWSP turut memperkenalkan i-Saraan Plus, iaitu skim caruman sukarela khas buat pemandu e-hailing dan p-hailing bagi membantu golongan bekerja sendiri menambah simpanan persaraan.
Menerusi inisiatif ini, pemandu layak menerima insentif padanan kerajaan sehingga RM600 setahun, tertakluk kepada had seumur hidup RM6,000, dengan pendaftaran dibuat melalui platform terlibat.
Dalam perkembangan lain, umur kelayakan skim i-Suri turut dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, selaras dengan umur persaraan minimum negara, dengan insentif padanan kerajaan sebanyak 50 peratus sehingga RM300 setahun masih diteruskan.
KWSP juga memaklumkan bahawa Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) akan mula dilaksanakan pada 2026, sebagai panduan kepada ahli dalam merancang simpanan persaraan yang lebih mencukupi.
Seiring pelaksanaan rangka kerja ini, dasar Pengeluaran Melebihi RM1 Juta akan diselaras secara berperingkat bagi memberi lebih fleksibiliti kepada ahli di bawah 55 tahun, tanpa menjejaskan keperluan asas simpanan persaraan.
Secara keseluruhan, langkah-langkah ini dilihat sebagai usaha KWSP untuk memastikan simpanan persaraan ahli terus terpelihara, sambil memberi kelonggaran yang lebih realistik mengikut keperluan semasa.














