Terkini

Tradisi pemberian duit raya mampu semai rasa syukur dan sifat menderma di bulan mulia

SEPANJANG bulan Ramadan, umat Islam sudah memulakan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri baik daripada segi persiapan makanan, atau pakaian. Tidak dilupakan juga persiapan duit raya untuk diberikan kepada sanak saudara dan tetamu yang bakal berkunjung ke rumah kelak.

Tradisi memberi duit raya sering dilakukan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak atau kepada individu yang lebih muda tidak kira mereka merupakan saudara, sahabat mahupun jiran tetangga.

Tindakan memberi duit raya ini juga melambangkan nilai-nilai baik seperti bersedekah di bulan mulia dan rasa kesyukuran.

Pemberi duit raya

Pemberian duit raya sering kali diberi oleh orang dewasa, khususnya yang sudah bekerja kepada individu yang lebih muda daripada mereka, terutamanya kanak-kanak.

Selain memberi kepada orang yang lebih muda, kebanyakan masyarakat zaman kini juga seing memberi duit raya kepada insan yang lebih tua daripada mereka seperti ibu bapa mereka dan saudara-mara.

Jumlah wang yang diberi juga mengikut kepada pemberi, asalkan ia ikhlas diberikan oleh mereka tanpa perlu rasa terbeban dalam memberikan sejumlah wang yang dicadangkan itu.

Penerima duit raya

Isu penerima duit raya juga sering menjadi persoalan dan kadangkala wujud perdebatan antara orang ramai kerana mempunyai pendapat yang berlainan.

Sesetengah masyarakat berpendapat bahawa hanya kanak-kanak sahaja relevan untuk menerima duit raya dan individu yang lebih dewasa tidak sepatutnya menerima.

Namun, ada juga pendapat yang bercanggah mengatakan individu yang lebih tua, khususnya pelajar sekolah dan universiti yang perlu menerima lebih banyak duit raya kerana mereka lebih memerlukan bantuan kewangan daripada kanak-kanak.

Namun, ia bergantung kepada pemberi itu sendiri untuk memberi duit raya sama ada kepada kanak-kanak ataupun warga belia.

Mengapa perlu beri duit raya

Penerimaan duit raya merupakan pengalaman yang membahagiakan bagi semua orang, baik kanak-kanak mahupun remaja kerana dapat melakar kenangan manis semasa perayaan hari tersebut.

Tradisi memberi duit raya juga berperanan dalam mengeratkan hubungan sosial antara generasi yang lebih tua dan lebih muda kerana tindakan ini menciptakan kemesraan dan hubungan yang erat antara keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

Memberi duit raya juga mengajar individu bahawa pentingnya berbahagi rezeki dengan orang lain, terutama sekali kepada mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan dari segi kewangan.

Namun, harus diingatkan bahawa pemberian dan penerimaan duit raya ini hanyalah adat tradisi yang diguna pakai oleh masyarakat Melayu dan tidak termaktub dalam hukum ketika menyambut bulan Syawal. — KL Viral

Baca juga:

Pelbagai

Scroll to Top