Bermula hari ini, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) rasmi dikuatkuasakan sebagai langkah baharu kerajaan untuk menjadikan ruang digital lebih selamat, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan institusi keluarga.
Teruskan MembacaSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan, akta ini menetapkan tanggungjawab yang lebih jelas kepada penyedia perkhidmatan berlesen bagi menangani pelbagai risiko dan ancaman dalam talian.
Menurut MCMC, antara perkara utama yang ditekankan termasuk keperluan melaksanakan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, menyediakan perlindungan khas untuk kanak-kanak serta mewujudkan sistem pelaporan dan sokongan yang mesra pengguna.
“ONSA terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bagaimanapun, ia tidak melibatkan pengguna individu,” jelas MCMC dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, MCMC turut memaklumkan bahawa peruntukan deeming di bawah Seksyen 46A AKM 1998 akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.
Susulan pelaksanaan ONSA, semua platform media sosial yang memenuhi kriteria pelesenan kini tertakluk kepada kerangka pelesenan sedia ada dan diwajibkan mematuhi undang-undang Malaysia.
Menurut MCMC, langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan kawal selia yang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan platform digital berskala besar lebih bertanggungjawab dan telus dalam operasi mereka di negara ini.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan, ibu bapa, pendidik, agensi penguatkuasaan, NGO serta komuniti bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
“Usaha bersama ini penting demi melindungi pengguna, terutamanya kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ONSA 2025 boleh melayari laman web rasmi MCMC.
















