PUTRAJAYA: Murid Tahun Empat bakal kembali menduduki ujian penilaian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan peperiksaan peringkat tersebut bermula 2026 sebagai langkah awal mengukur tahap penguasaan asas murid sekolah rendah.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, ujian itu akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dan melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Subjek Sejarah pula akan dimasukkan bermula tahun 2027, menjadikan keseluruhan lima mata pelajaran dinilai.
“Kita tak mahu hanya tunggu sampai Darjah Enam baru tahu murid lemah di mana. Sebab itu mulai tahun ini, Darjah Empat pun akan ada ujian,” katanya.
Beliau menjelaskan, penilaian awal ini bertujuan memberi peluang kepada murid Tahun Lima dan Enam untuk memperbaiki kelemahan lebih awal sebelum melangkah ke alam sekolah menengah.
Langkah tersebut juga dilihat mampu membantu pihak sekolah dan guru mengenal pasti jurang pembelajaran lebih cepat, sekali gus membolehkan intervensi dibuat dengan lebih tersusun dan berkesan.
Pengumuman berkenaan dibuat ketika beliau berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang berlangsung hari ini di Putrajaya.
















