Sebanyak 116 lokasi Bazar Ramadan Rahmah dibuka di seluruh negara tahun ini dengan penglibatan kira-kira 3,000 peniaga yang menyediakan Juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah untuk orang ramai.
Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata inisiatif ini diadakan bagi membantu rakyat mendapatkan makanan berbuka puasa pada harga yang lebih berpatutan sepanjang Ramadan.
Teruskan MembacaMenurut beliau, program tersebut bukan sahaja memudahkan orang ramai berjimat, malah turut membantu peniaga kecil terus berniaga dengan sokongan daripada pihak kementerian.
Antara bantuan yang disediakan termasuk kad diskaun khas untuk pembelian bahan mentah supaya peniaga dapat mengekalkan harga jualan yang rendah.
Beliau yang sempat melawat bazar di Johor Bahru turut berkongsi bahawa Menu Rahmah antara yang paling mendapat perhatian pengunjung, malah ramai dilihat terus mencari gerai bertanda Rahmah sebaik tiba di bazar.
Jelasnya, sambutan yang diterima menunjukkan Menu Rahmah semakin penting kepada ramai keluarga yang mahu mengawal perbelanjaan sepanjang bulan puasa.
Dalam masa sama, kementerian akan terus memantau pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah bagi memastikan program ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta membantu peniaga menjana pendapatan.















