Seorang wanita di Johor Bahru melalui detik yang cukup mendebarkan apabila selamat melahirkan bayi perempuan keenamnya di dalam kereta ketika dalam perjalanan ke hospital, awal Januari lalu.
Teruskan MembacaMenurut perkongsian, kejadian berlaku pada 3 Januari 2026 ketika wanita tersebut sedang hamil 39 minggu satu hari. Ketika itu dia bersama suami dalam perjalanan menuju ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bersalin.
Apa yang mencuri perhatian ramai ialah si ibu sempat makan kurma dalam kereta sementara menunggu untuk sampai ke hospital. Namun secara tiba-tiba keadaan menjadi cemas apabila air ketuban pecah dan tanpa sedar ketika mereka masih berada di jalan raya yang sesak.
Suaminya terus bertindak pantas dengan membunyikan hon dan menyalakan lampu kecemasan bagi memberi laluan. Tidak lama selepas itu, bayi mereka dilahirkan terus di dalam kereta, malah suami terpaksa memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk menyambut kelahiran anak tersebut.
Lebih melegakan, kebetulan terdapat anggota polis bermotosikal yang berada berhampiran lokasi dan membantu mengiringi pasangan itu ke hospital dengan segera.
Ibu dan bayi akhirnya selamat tiba di HSI sekitar jam 11 pagi dan kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Kisah yang dikongsikan di TikTok menerusi akaun @puterryezzah itu mendapat perhatian ramai netizen, terutama kerana situasi unik si ibu yang masih sempat makan kurma sebelum bayi dilahirkan.
Ramai netizen meninggalkan komen kagum dengan pengalaman bersalin yang berlaku begitu pantas, malah ada yang berkongsi pengalaman hampir sama, tak sempat sampai hospital, bayi dah nak keluar dulu. Memang betul orang kata, bila baby dah ready, memang tak tunggu lama.
















