KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini hadir ke tayangan global perdana filem epik Taj Mahal: An Eternal Love Story, yang dianggap sebagai momen istimewa dalam mengangkat seni sebagai jambatan persahabatan dan kefahaman sejagat.
Teruskan MembacaMenurut Anwar, penayangan semula filem klasik ini selepas lebih 20 tahun, kini dengan versi dipertingkatkan menggunakan teknologi moden, menunjukkan bahawa karya seni memang boleh kekal relevan walaupun zaman berubah.
“Filem ini kembali dengan sentuhan teknologi moden, tapi masih mengekalkan roh dan keindahan asal, jadi pengalaman menontonnya lebih segar dan mendalam,” tulis beliau di Facebook.
Beliau juga sempat merakamkan penghargaan kepada pengarah filem, Akbar Khan, serta kehadiran pelakon asal yang menambah nilai sentimental pada tayangan kali ini.
“Terima kasih kepada sahabat saya, Akbar Khan, dan seluruh pasukan yang menjayakan malam bersejarah ini,” kata Anwar lagi.
Kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz Mahal yang menjadi teras filem itu tetap relevan sebagai simbol pengorbanan, kesetiaan dan keindahan cinta sejati. Menurut Anwar, kisah ini terus hidup sebagai lambang cinta merentas zaman, budaya, dan peradaban.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana Malaysia dipilih sebagai lokasi pelancaran global filem ini, sekaligus mengukuhkan peranan negara sebagai hub budaya dan diplomasi serantau.
“Malaysia memang pentas yang meraikan seni, memperkukuh dialog dan menyatukan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.
Turut hadir pada acara itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Fahmi Fadzil.
















