PETALING JAYA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil bersuara membantah iklan sebuah drama terbitan Astro yang kini dipaparkan secara terbuka di ruang awam, termasuk di pengangkutan awam.
Teruskan MembacaMenurut Timbalan Setiausaha I Wanita PKR, Rozy Razit, iklan berkenaan memberi gambaran yang tidak adil terhadap wanita dan seolah-olah menormalisasikan ketidakseimbangan tanggungjawab dalam institusi perkahwinan.
Katanya, mesej yang dipaparkan dilihat berat sebelah dari sudut jantina serta tidak sesuai untuk ditonton secara umum memandangkan ruang awam turut diakses oleh kanak-kanak dan remaja.
“Iklan sebegini tidak sepatutnya dipertontonkan kepada masyarakat umum kerana ia membawa naratif sempit yang meletakkan beban moral dan sosial ke atas wanita semata-mata, tanpa menekankan tanggungjawab bersama dalam rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Rozy menggesa pihak Astro supaya menilai semula atau menarik balik iklan berkenaan dan mengamalkan pendekatan promosi yang lebih bertanggungjawab serta sensitif terhadap isu gender.
Beliau turut mengingatkan bahawa media mempunyai pengaruh besar dalam membentuk pemikiran masyarakat dan seharusnya digunakan dengan penuh tanggungjawab.
“Martabat wanita bukan bahan iklan. Agama pula bukan alat sensasi,” tegasnya.















