Isu antara Caprice dan Rafizi Ramli nampaknya makin panas apabila pempengaruh itu sah memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap bekas Menteri Ekonomi berkenaan.
Teruskan MembacaCaprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, tindakan undang-undang itu dibuat selepas Rafizi didakwa gagal memohon maaf dan memadam hantaran media sosial yang menurutnya mengandungi kenyataan berunsur fitnah.
Menurut Caprice, saman tersebut difailkan selepas dua surat tuntutan peguam bertarikh 20 dan 23 Februari tidak mendapat maklum balas seperti yang dimahukan. Difahamkan, proses penyerahan saman kepada pihak Rafizi akan dilakukan dalam masa terdekat.
Antara tuntutan yang dikemukakan termasuk ganti rugi RM10 juta, permohonan maaf secara terbuka serta perintah injunksi bagi menghalang kenyataan sama terus disiarkan.
“Saya ambil tindakan ini untuk bersihkan nama saya daripada tuduhan yang dilemparkan. Insya-Allah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini pada 21 Februari, Caprice dilaporkan memberi tempoh sehingga jam 5 petang pada hari sama untuk Rafizi memadam semua hantaran berkaitan dan memohon maaf, atau berdepan tindakan mahkamah.
Kontroversi itu tercetus susulan kenyataan Rafizi di media sosial berhubung dakwaan Caprice mengenai isu rasuah RM2.5 bilion yang didakwa melibatkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas menteri tersebut.
Dalam masa sama, Caprice turut menyentuh penjelasan Rafizi menerusi podcast ‘Yang Berhenti Menteri’ (YBM) yang disiarkan pada 20 Februari lalu. Dalam podcast itu, Rafizi menjawab dakwaan kononnya wujud konflik kepentingan ketika beliau mengetuai Kementerian Ekonomi.
Caprice mendakwa Rafizi tidak menafikan hubungan perniagaan dengan CEO Itramas Corporation, Lee Choo Boo, yang sebelum ini dilaporkan pernah memegang saham dalam Invoke. Selain itu, beliau juga mendakwa Rafizi tidak menafikan pembabitan dalam projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dianugerahkan kepada Itramas Corporation ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi.
Setakat ini, belum ada kenyataan balas rasmi daripada pihak Rafizi mengenai saman yang difailkan itu.
















