KUANTAN: Isu penularan foto seorang lelaki tempatan yang didakwa memijak al-Quran di media sosial kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Teruskan MembacaPolis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman memaklumkan kes berkenaan dipandang serius memandangkan ia melibatkan sensitiviti agama dan boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, setakat ini sebanyak 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara. Malah, 43 individu juga sudah dipanggil bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Semua pihak diminta bertenang dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Kertas siasatan dijangka dirujuk ke Jabatan Peguam Negara pada 2 Mac 2026 untuk tindakan selanjutnya.
PDRM turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional dan adil demi menjaga keharmonian serta keamanan negara.
















