Khabar baik buat rakyat Malaysia. Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan mula dikreditkan ke akaun penerima secara berperingkat mulai esok.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pembayaran kali ini melibatkan kira-kira 5.2 juta penerima di seluruh negara, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang sedang membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Teruskan MembacaMenurut beliau, jumlah penerima STR bagi Fasa 2 turut meningkat berbanding Fasa 1 sebelum ini. Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM1.3 bilion untuk bayaran kali ini, berbanding RM1.1 bilion yang disalurkan kepada lima juta penerima pada fasa pertama.
Apa yang menarik, sekitar 200,000 penerima baharu turut diluluskan dalam fasa ini. Mereka dijangka akan mula menerima bayaran bermula 30 Mac 2026.
Anwar memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.
Secara keseluruhannya, STR Fasa 2 akan memberi manfaat kepada kira-kira 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas yang tiada pasangan, dengan jumlah bantuan antara RM100 hingga RM600 bergantung kepada kategori kelayakan.
Dalam masa sama, kerajaan turut menegaskan komitmen untuk terus membantu golongan memerlukan melalui pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan juga SARA Untuk Semua.
Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa bagi tahun 2026, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 bilion untuk STR dan SARA, menjadikannya antara peruntukan bantuan tunai terbesar pernah disediakan oleh kerajaan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari portal rasmi STR. Dalam masa sama, penerima dinasihatkan supaya berhati-hati dengan pautan palsu atau mesej mencurigakan, dan hanya merujuk kepada laman rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.















