Nama Haqiem Rusli kembali jadi perhatian bila timbul kebimbangan dalam kalangan peminat yang merasakan dia seolah-olah “hilang arah” selepas tidak berjaya melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-40.
Perkara itu mula hangat diperkatakan di Threads, apabila seorang pengguna meluahkan pandangan mengenai perubahan yang dilihat pada penyanyi tersebut, sambil menyifatkan Haqiem sebagai antara artis berbakat besar yang wajar terus diberi perhatian.
Teruskan Membaca
Bagaimanapun, Haqiem tampil memberikan respon yang cukup tenang dan matang. Menurutnya, dia tidak berada dalam keadaan seperti yang disangka ramai, malah mengakui sedang melalui fasa yang baik untuk memperbaiki diri dan karya.
“Terima kasih atas keprihatinan… saya taklah sesedih yang disangka,” jelasnya ringkas, sekali gus meredakan kebimbangan peminat.
Dalam masa sama, Haqiem turut memberi bayangan bahawa dia kini sedang merancang projek baharu, termasuk kemungkinan kolaborasi bersama Hael Husaini.
Penyanyi itu mengesahkan mereka ada bertemu dan berbincang, namun memilih untuk tidak mendedahkan butiran lanjut buat masa ini, sebaliknya meminta peminat menantikan perkembangan seterusnya.
Perkongsian tersebut terus mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat yang berharap gabungan dua nama besar itu menjadi kenyataan, memandangkan kedua-duanya terkenal dengan karya yang kuat dan beremosi.
Buat masa ini, satu perkara jelas Haqiem Rusli tidak “hilang arah”, sebaliknya sedang menyusun langkah untuk kembali dengan sesuatu yang lebih besar.
















