Personaliti kulinari terkenal, Datuk Chef Wan meraih perhatian ramai apabila berkongsi kisah bagaimana beliau menerima berita mengenai diagnosis kanser Burkitt, sejenis limfoma yang sangat jarang berlaku.
Menerusi sebuah podcast, Chef Wan mengakui pada awalnya beliau sukar mempercayai apa yang dimaklumkan doktor. Namun, daripada terus bersedih, beliau memilih untuk melihat perkara itu dari sudut yang lebih positif.
Teruskan MembacaMenurut Chef Wan, doktor memberitahu bahawa kanser Burkitt yang dihidapinya hanya melibatkan kira-kira lima peratus kes di seluruh dunia.
“Saya pandang doktor dan kata, saya tak percaya. Saya ni insan terpilih rupanya,” katanya sambil berseloroh.
Tambahnya lagi, doktor sendiri terkejut melihat reaksinya yang begitu tenang dan positif ketika menerima berita tersebut.
Dalam masa sama, Chef Wan berkata beliau menerima ujian itu dengan hati yang terbuka serta percaya setiap penyakit yang datang mempunyai hikmah tersendiri.
“Kalau ini adalah pengakhiran hidup saya, saya akan hadapinya seperti orang lain. Alhamdulillah, saya sudah diberi peluang menikmati kehidupan yang sangat indah sehingga usia 65 tahun.
“Terima kasih Ya Allah. Bagi saya, setiap penyakit itu juga adalah penghapus dosa,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan dan sikap positif Chef Wan dalam berdepan ujian kesihatan yang mencabar.
Ramai turut mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan serta terus kuat menjalani rawatan.
















