Pelakon Amyza Aznan meluahkan rasa syukur apabila impiannya bersama anak kedua, Adrian Adam, untuk menunaikan ibadah umrah akhirnya tercapai selepas menerima tajaan daripada seorang individu yang tersentuh dengan kisah mereka.
Menurut Amyza, berita itu hadir pada waktu yang cukup bermakna buat keluarga mereka dan disifatkan sebagai rezeki yang datang tanpa diduga.
Teruskan MembacaKatanya, hadiah tersebut terasa sangat istimewa dan menjadi antara perkara paling bermakna sempena sambutan Hari Raya Haji tahun ini.
Difahamkan, peluang menunaikan umrah itu ditawarkan oleh pemilik sebuah syarikat pelancongan selepas individu berkenaan terbaca perkongsian seorang jurusolek di media sosial mengenai impian Amyza dan anaknya untuk ke Tanah Suci.
Amyza turut berkongsi bahawa Adrian sudah lama menyimpan keinginan untuk ke Makkah, lebih-lebih lagi selepas melalui cabaran berkaitan kesihatan sebelum ini.
Menurutnya, anaknya pernah meluahkan hasrat mahu berdoa sendiri di sana, namun perkara itu tidak pernah dikongsi secara terbuka dan hanya diketahui ahli keluarga terdekat.
Tambah Amyza, dia sendiri tidak menyangka bagaimana perkara itu boleh sampai kepada pengetahuan individu yang akhirnya menjadi asbab perjalanan mereka ke Tanah Suci.
Katanya lagi, selepas melihat perkongsian video dan kapsyen berkaitan di media sosial, hati individu tersebut terbuka untuk merealisasikan impian mereka sekeluarga. Alhamdulillah, rezeki buat Amyza dan anaknya.
















