Usahawan dan pempengaruh media sosial, Ojen Aiwahhh tampil memberi respon susulan kontroversi melibatkan atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali berkaitan isu kunafa yang sebelum ini disebut sebagai makanan ‘sampah’.
Menerusi perkongsian di Threads, Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahza Mohd Rosli mengakui dia sudah lali menerima kecaman serta kata-kata negatif daripada netizen sepanjang menjalankan perniagaan.
Teruskan MembacaMenurut Ojen, dia juga sering dilemparkan dengan pelbagai gelaran termasuk dipanggil pondan, namun memilih untuk tidak melayan komen berbaur hinaan itu kerana menganggap semuanya sebagai ujian.
“Pondan lagi? Apa lagi nak bagi, bagi. Aku seronok kumpul pahala.
“Bisnes aku tak berhenti dicaci dan dimaki. Digelakan, tidak mengapa. Bukan aku yang mula cari pasal. Yang bijak akan nilai dengan hati,” tulisnya.

Dalam masa sama, Ojen turut mengakui mungkin apa yang berlaku adalah disebabkan keterlanjuran percakapannya sebelum ini yang tanpa sedar menyinggung perasaan sesetengah pihak.
“Kalau ini hukuman sebab mulut aku yang tersalah kata tempoh hari, aku terima. Terima kasih semua. Doakan aku,” katanya lagi.
Terdahulu, media sosial hangat memperkatakan mengenai perselisihan faham antara Johan Ghazali dan Ojen selepas atlet muda itu mengkritik pencuci mulut popular, kunafa.
Johan dilaporkan menyifatkan makanan tersebut sebagai tidak sihat dan menggelarnya sebagai makanan ‘sampah’, kenyataan yang kemudian mengundang rasa kurang senang Ojen memandangkan kunafa merupakan antara produk utama perniagaannya.
















