Nama Naykilla mungkin bermula sebagai fenomena media sosial, namun penyanyi muda dari Indonesia itu membuktikan dirinya lebih daripada sekadar artis viral apabila berjaya menghiburkan hampir 2,000 peminat menerusi konsert Naykilla Centyl in My Playground di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sejak kemunculan pertama di pentas, suasana terus bertukar meriah dengan sorakan peminat yang tidak sabar menyaksikan persembahan penyanyi berusia 23 tahun itu secara langsung. Malah, sebaik sahaja lagu Bahasa Tubuhmu dimainkan, seluruh dewan mula bernyanyi bersama sebelum Naykilla meneruskan momentum dengan lagu cover Open Arms nyanyian asal SZA yang diberikan sentuhan hipdut dan R&B moden.
Teruskan MembacaSepanjang hampir dua jam persembahan, Naykilla membawakan pelbagai lagu popular termasuk Skip Dulu Ah bersama RYO, Keong Racun, Cinta Satu Malam x We Can’t Be Friends, Geleng Geleng bersama Yung Caters, Sayonara, Cenat Cenut bersama Sophia Razak, MSG (Melayu Swag Giler), Raga, MMG, Satu Cinta di Udara, Garam dan Madu, SO ASU serta Kasih Aba Aba sebagai penutup konsert.
Konsert itu turut dimeriahkan dengan penampilan beberapa artis jemputan. RYO tampil menghiburkan peminat menerusi lagu Tantrum, Sama Kamu Cuma Kamu (SKCK), 1/10 dan Cuma Teman, manakala Yung Caters membawakan lagu I Heart You x Baby, Bandung City (UOO), Stay dan Rumah.
Tidak ketinggalan, penyanyi tempatan Sophia Razak turut menerima sorakan hangat menerusi persembahan lagu Cenat Cenut, MSG dan Baddie Melayu Terakhir.
Apa yang membuatkan persembahan Naykilla begitu istimewa bukan hanya pada pilihan lagu, tetapi juga tenaga luar biasa yang dibawanya sepanjang malam. Dengan aksi pentas yang bersahaja, interaksi spontan bersama peminat dan susunan muzik yang bertenaga, penonton dilihat terus menyanyi dan menari dari awal hingga tamat acara.
Antara momen yang paling ditunggu-tunggu tentunya ketika Naykilla mempersembahkan lagu Garam dan Madu yang pernah mencetuskan fenomena di TikTok. Sebelum menyampaikan lagu tersebut, dia sempat berkongsi kisah awal perjalanan seninya termasuk pengalaman meminjam wang daripada rakan demi merealisasikan impian untuk memasuki studio rakaman.
Menariknya, suasana konsert turut dipenuhi peminat yang tampil dengan gaya fesyen Y2K grunge lengkap dengan jaket oversized, skirt bertingkat, stokin belang dan solekan edgy yang cukup sinonim dengan imej Naykilla.
Diperkukuhkan dengan visual berwarna-warni, permainan lampu yang menarik serta rekaan pentas yang kreatif, konsert ini berjaya menampilkan identiti muzik Naykilla yang unik dan penuh karakter.
Secara keseluruhannya, Naykilla Centyl in My Playground bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pesta muzik yang meraikan kebebasan berekspresi dan budaya generasi muda masa kini.
Melihat kepada sambutan hangat yang diterima di Kuala Lumpur, tidak mustahil Naykilla akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara bintang muda serantau yang sedang mencipta nama dalam industri muzik.
















