Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas dipercayai memukul bekas isterinya dalam satu kejadian di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 21 Jun lalu kira-kira jam 1.51 petang. Kes tersebut turut mendapat perhatian ramai selepas rakaman video insiden berkenaan tular di platform Threads.
Teruskan MembacaSusulan siasatan yang dijalankan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang berjaya menahan suspek pada petang 22 Jun. Difahamkan, lelaki yang bekerja sebagai pemandu Grab itu merupakan bekas suami kepada mangsa.
Suspek dijadualkan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi hari ini bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja serta melakukan ugutan jenayah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd Azmi di talian 011-2966 7474.
















