Penyanyi terkenal, Khai Bahar, memutuskan untuk tidak meneruskan hasrat menyaman individu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya di platform X baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Luluh itu, individu terbabit telah memadam semua hantaran berkaitan, dan beliau merasakan isu tersebut tidak wajar diperbesarkan.
Teruskan Membaca“Saya memilih untuk reda dan tidak mahu emosi saya dikaburi dengan perasaan benci,” ujar Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 31.
Pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) itu turut menegaskan bahawa beliau tidak akan mengehadkan keterbukaan dalam menggunakan media sosial walaupun sering menjadi mangsa fitnah.
Terdahulu, Khai meluahkan rasa kecewa apabila sebuah akaun di platform X memuat naik video dirinya bersama adik ipar dalam kereta, disertai kapsyen berunsur fitnah yang mengundang kecaman warganet.
Susulan kejadian itu, Khai pernah menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan, namun kini memilih untuk menyelesaikan perkara tersebut secara damai.
















