PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menyiasat penyebaran kandungan di media sosial yang dikaitkan dengan kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, selepas didapati mengandungi unsur fitnah dan elemen 3R, kaum, agama dan raja.
Teruskan MembacaMenurut MCMC, kandungan tular itu berisiko mencetuskan kekeliruan orang ramai dan boleh mengganggu kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Bagi membantu siasatan, kami telah menyita satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Individu terlibat juga sudah dipanggil untuk beri keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 9 Ogos 2025. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah berkongsi sebarang maklumat atau spekulasi yang belum disahkan, demi menghormati keluarga mangsa dan memastikan proses siasatan berjalan lancar.
“Penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja boleh mengguris hati keluarga, malah melanggar etika dan mengganggu proses keadilan,” jelasnya.
Masyarakat juga dinasihatkan untuk beri ruang kepada siasatan yang sedang berjalan dan elakkan daripada menyebarkan kandungan yang boleh menimbulkan provokasi atau kekeliruan.