PETALING JAYA: Polis Bukit Aman kini rasmi ambil alih siasatan kes serangan terhadap anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bagi pastikan siasatan lebih menyeluruh.
Teruskan MembacaPerkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, yang berkata langkah ini penting supaya kes dapat ditangani dengan lebih teratur dan berpusat.
Dalam masa sama, beliau minta orang ramai yang ada maklumat berkaitan kejadian supaya segera tampil membantu polis.
“Kerjasama masyarakat sangat penting untuk pastikan siasatan telus dan adil,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, anak Rafizi yang berusia 12 tahun diserang dua lelaki bermotosikal ketika berada di kawasan menurunkan dan mengambil penumpang di sebuah pusat beli-belah minggu lalu.
Rafizi sendiri dalam kenyataan pada Rabu berkongsi, anaknya diserang ketika beliau, isteri dan anaknya mahu masuk ke kereta. Menurutnya, dua suspek berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh bertindak mengheret anaknya sebelum menyuntik dengan jarum suntikan.