PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyampaikan ucapan takziah dan rasa dukacita atas pemergian Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz bin Abdullah Al-Sheikh, yang disifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat umat Islam seluruh dunia.
Teruskan MembacaDalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi beliau, Anwar menekankan bahawa Sheikh Abdulaziz merupakan seorang tokoh ulama yang berperanan penting dalam penyebaran ilmu serta memberikan sumbangan berharga kepada dunia Islam.
“Seluruh umat Islam di Malaysia turut berdukacita menerima perkhabaran pemergian Sheikh Abdulaziz Abdullah Al-Sheikh. Kita kehilangan seorang ulama besar yang sarat dengan ilmu dan hikmah, yang telah banyak berbakti kepada umat Islam,” ujar beliau.
Anwar, bagi pihak rakyat Malaysia, turut menzahirkan simpati dan takziah kepada kerajaan Arab Saudi serta seluruh umat Islam. Beliau berdoa agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan para nabi serta orang-orang soleh.
Sheikh Abdulaziz, yang dilantik sebagai Mufti Besar Arab Saudi sejak tahun 1999, dikenali sebagai seorang sarjana Islam yang berwibawa dengan sumbangan besar dalam bidang fatwa, ilmu pengetahuan dan pembangunan pemikiran Islam kontemporari.
Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi, solat jenazah Sheikh Abdulaziz diadakan di ibu negara Riyadh dan di masjid-masjid seluruh negara pada Selasa, sebagai tanda penghormatan terakhir.
Pemergian beliau bukan sahaja dirasai oleh rakyat Arab Saudi, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada umat Islam global yang menghargai usaha beliau dalam memperkukuh syariat dan memperluaskan kefahaman Islam secara berhemah.