KUALA LUMPUR: Semangat rakyat Malaysia untuk terus berdiri bersama Palestin dijangka membara semula malam esok dalam Himpunan Sumud Nusantara: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Teruskan MembacaAcara yang akan bermula jam 6 petang ini diadakan sebagai simbol perpaduan rakyat serantau dan tanda penghargaan buat 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang baru-baru ini dihalang secara ganas oleh rejim Zionis ketika sertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Himpunan kali ini dijangka menarik ribuan peserta dari seluruh Malaysia termasuk NGO, aktivis kemanusiaan, golongan belia dan orang awam, semua bersatu di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.”
Selain untuk meraikan para wira kemanusiaan negara, acara ini juga bawakan mesej besar bahawa isu Palestin bukan hanya soal agama, tapi isu kemanusiaan sejagat yang perlu disokong seluruh rakyat Nusantara.
Himpunan ini juga menunjukkan pendirian tegas kerajaan MADANI dalam menentang kekejaman Israel dan terus mendesak supaya laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini turut menyanjung tinggi keberanian dan pengorbanan sukarelawan GSF yang dianggap sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara.
“Saya hargai keberanian dan kecekalan mereka memperjuangkan nasib rakyat Gaza. Mereka adalah lambang keberanian rakyat Malaysia,” katanya pada Ahad lalu.
Anwar juga berharap himpunan ini jadi platform untuk rakyat Malaysia terus suarakan solidariti terhadap Gaza, satu perjuangan yang tak akan padam selagi keadilan belum tercapai.