KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Kuala Lumpur dijangka jadi antara acara paling penting tahun ini, bukan sekadar pertemuan diplomatik, tapi juga pentas yang menonjolkan kepimpinan Malaysia sebagai negara berprinsip dan berwibawa di mata dunia.
Teruskan MembacaPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia bersedia memimpin ASEAN dengan hikmah, keberanian dan prinsip, sambil menegaskan komitmen untuk memperkukuh perpaduan serantau serta memperjuangkan suara Asia Tenggara di peringkat global.
“Sidang kali ini mencatat sejarah dengan kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan. Ia menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama,” kata Anwar dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar menyifatkan sidang kali ini sebagai sangat signifikan, bukan sahaja kerana Malaysia menjadi tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025, tetapi juga kerana ia berlangsung ketika rantau ini berdepan pelbagai cabaran besar daripada isu ekonomi dan keselamatan, hinggalah kepada krisis kemanusiaan global.
Beliau menegaskan Malaysia kekal berpegang pada prinsip kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality), memperkukuh perdagangan bebas dan diplomasi keamanan, selain memperjuangkan hak Negara-Negara Selatan (Global South)termasuk isu kemanusiaan di Gaza.
“Malaysia akan terus membawa suara rantau ke pentas dunia dan memperjuangkan penyelesaian adil serta berkekalan terhadap krisis di Gaza,” ujarnya.
Dalam masa sama, penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai ahli ASEAN ke-11 turut menjadikan sidang tahun ini bersejarah, simbol kepada semangat keterangkuman dan perpaduan serantau yang semakin kuat.
Malaysia juga menggesa supaya Thailand dan Kemboja meneruskan rundingan damai bagi menyelesaikan isu berbangkit secara diplomatik, di samping kekal memberi tumpuan kepada usaha damai di Myanmar melalui pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.
“Malaysia juga kekal komited terhadap usaha damai di Myanmar demi kesejahteraan rakyatnya,” kata Anwar.
Sidang ASEAN ke-47 ini merupakan kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah selepas tahun 2005 dan 2015, dan kali ini tumpuannya lebih besar, merangkumi pengukuhan ekonomi digital, diplomasi keamanan, solidariti serantau dan isu global seperti konflik Gaza serta perubahan iklim.
Dengan kehadiran pemimpin dunia dan penglibatan aktif semua negara anggota, sidang ini dijangka menjadi titik kebangkitan baharu ASEAN, blok serantau yang lebih bersatu, progresif dan berpengaruh di arena global.
















