KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) kini memasuki fasa lebih serius apabila pelbagai aset bernilai hampir RM6.9 juta berjaya disita.
Teruskan MembacaDifahamkan, sitaan itu membabitkan jongkong emas, wang tunai dalam pelbagai mata wang asing serta sebuah SUV berprestasi tinggi yang ditemui di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang.
Menurut sumber, wang tunai yang dirampas terdiri daripada beberapa mata wang antarabangsa termasuk Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound Sterling, Yen Jepun dan Riyal Arab Saudi, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan mengenai sumber perolehan wang tersebut.
“Antara yang disita ialah tiga jongkong emas 999 seberat satu kilogram setiap satu dengan nilai anggaran sekitar RM1.8 juta.
“Selain itu, sembilan keping emas seberat 100 gram setiap satu bernilai lebih RM500,000 turut dirampas bersama sebuah SUV dianggarkan bernilai RM360,000 yang dipercayai dibeli secara tunai,” kata sumber, seperti dipetik Harian Metro.
Difahamkan, SUV berkenaan ditemui ketika ditinggalkan di bengkel untuk tujuan pembaikan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan pihak SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, mengesahkan rampasan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Setakat ini, siasatan masih diteruskan dan perkembangan lanjut dijangka didedahkan dari semasa ke semasa.
















