Seramai 25 rakyat Malaysia dilaporkan antara hampir 350 aktivis antarabangsa yang dipercayai ditahan selepas beberapa kapal Flotilla kemanusiaan dipintas tentera Israel (IOF) ketika dalam perjalanan menuju ke Gaza.
Menurut kenyataan dikeluarkan Sumud Nusantara Command Center (SNCC), sebanyak 40 kapal yang menyertai misi bantuan itu dipintas di perairan antarabangsa sebelum semua aktivis di atas kapal berkenaan didakwa dipindahkan secara paksa ke kapal tentera.
Teruskan MembacaSetakat ini, status dan lokasi sebenar semua aktivis masih belum dapat dipastikan.
SNCC turut memaklumkan bahawa komunikasi dengan sebahagian kapal terputus sejurus selepas insiden berlaku, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan mereka.
Dalam masa sama, beberapa lagi kapal flotila dilaporkan masih meneruskan pelayaran ke Gaza walaupun kini berada di kawasan yang diklasifikasikan sebagai Zon Merah 2, kira-kira 100 batu nautika dari pesisir pantai.
SNCC menyifatkan tindakan tersebut sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa dan bertentangan dengan prinsip kebebasan misi kemanusiaan di laut antarabangsa.
Mereka turut menyifatkan kejadian itu sebagai satu tindakan serius yang tidak berperikemanusiaan.
















