Bukan cerita kontroversi, bukan gosip panas, tapi kisah kasih sayang seorang anak yang buat ramai netizen tersentuh hati.
Teruskan MembacaPenyanyi Nubhan baru-baru ini berkongsi momen istimewa apabila menghadiahkan sebuah katil hospital khas untuk ibunya yang mesra dipanggil Mak Jenny. Video tersebut dimuat naik di media sosial dan terus mendapat perhatian ramai.
Menurut Nubhan, keadaan ibunya semakin uzur disebabkan faktor usia. Walaupun bukan sakit kritikal, pergerakan Mak Jenny sudah tidak sekuat dulu. Katil lama di rumah pula agak tinggi dan kurang sesuai, jadi dia ambil keputusan untuk belikan katil hospital yang lebih selesa dan mudah digunakan.
Apa yang buat ramai sebak bukan sekadar hadiah itu, tetapi cara Nubhan melayan dan bercakap dengan ibunya. Jelas terpancar rasa hormat dan kasih sayang yang mendalam. Dalam perkongsian tersebut, dia mengakui segala yang dimilikinya hari ini adalah hasil pengorbanan seorang ibu, dan sebagai anak, dia hanya mampu berusaha memberi yang terbaik.
Rata-rata netizen memenuhi ruangan komen dengan kata-kata pujian. Ramai yang tersentuh melihat layanan Nubhan terhadap ibunya, malah ada yang mengakui mereka sendiri rasa sebak kerana teringatkan ibu masing-masing.
Di sebalik dunia hiburan yang penuh cerita sensasi, kisah seperti ini benar-benar beri sisi berbeza. Kadang-kadang bukan kemewahan yang buat orang kagum, tapi nilai kasih sayang dan tanggungjawab seorang anak terhadap orang tuanya. Memang respect!
















