Oleh: Fazleen Safina
REMUK hati seorang ibu apabila membawa pulang bayi lelakinya dalam keadaan tidak bernyawa dari sebuah taska di Saujana Putra, Jenjarom, Selangor pada Jumaat minggu lepas.
Teruskan MembacaMenerusi perkongsian di laman Instagram @yyunirahman, bayi lelaki yang dikenali sebagai Handzalah itu meninggal dunia tanpa diberitahu punca secara terperinci oleh pihak taska terbabit.
Wanita itu mendakwa, terdapat kecuaian dan pengabaian premis terbabit sehingga menyebabkan kematian anaknya yang baru berusia empat bulan.
Dia turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama guru-guru yang dipercayai bertanggungjawab menjaga anaknya.
Wanita itu berkata, sudah banyak pengorbanan yang dibuat ketika mengandung dan melahirkan anaknya yang didakwa pra matang.
“Saya lahirkan manusia yang sempurna, tapi teacher (cikgu) semua dah ambil hak saya.
“Saya biasa menyusukan dia sepanjang malam. Sekarang ‘breast’ saya bengkak sepanjang masa.
“‘Teacher’ tinggal dalam bilik dan tuhan tahu berapa lama? Sampai anak struggle (gigih) nak bernafas? Sampai terbuang air besar sebab dia sakit? Akhir sekali saya tukar pampers (lampin pakai buang) semasa dia hidup sebelum saya hantar pergi taska jam 9 pagi.
“Lapan jam kemudian, saya kena tukar pampers dia dalam keadaan dia meninggal,” kongsinya kesal.
Difahamkan, wanita itu sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian itu, manakala dia turut berkongsi video jenazah anaknya yang sudah pun selamat dikebumikan.
Sementara itu, wanita tersebut juga sempat berkongsi tangkap layar mengenai respons pihak taska terhadap kematian anaknya.
Menerusi tangkap layar mesej itu, wakil taska berkenaan sudah membuat permohonan maaf kepada wanita tersebut, manakala mereka sedang memberi kerjasama kepada pihak polis untuk mengesan sebab dan punca kejadian.
Katanya, perkara tersebut masih dalam siasatan pihak polis dan pihak taska juga tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan.
Setakat berita ini dikeluarkan, belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. – KL Viral
Baca juga: