DRAMA bersiri popular yang menggemparkan dunia, Squid Game akan kembali dengan musim ketiga pada 27 Jun 2025, hanya enam bulan selepas musim kedua ditayangkan pada 26 Disember tahun lalu.
Peminat drama ini pasti gembira kerana jurang antara musim ketiga dan kedua jauh lebih pendek berbanding jurang tiga tahun antara musim pertama dan kedua.
Teruskan MembacaMengimbas semula babak akhir musim kedua, Netflix menyatakan musim ketiga akan lebih cenderung kepada hasil pemilihan tindakan Gi-Hun (Lee Jung-Jae) ketika saat-saat genting untuk membuat keputusan.
Sebelum ini, Gi-Hun dilihat kembali ke dalam permainan yang amat mendebarkan itu demi memusnahkan permainan yang tidak masuk akal itu.
Watak Front Man yang dilakonkan oleh Lee Byung-hun merancang langkah seterusnya, sementara pemain yang masih hidup mendapati keputusan mereka membawa kepada akibat yang semakin buruk di hujung musim kedua.
Musim terbaharu ini menjanjikan penamat yang memuaskan dengan menggabungkan ketegangan dan drama yang akan membuatkan penonton terpaku dalam setiap jalan cerita.
Netflix juga berkongsi beberapa keping gambar yang memaparkan imej baru sebagai poster drama tersebut untuk mempromosikan Squid Game Musim 3.
Tidak hairanlah Squid Game Musim 2 menduduki tangga ketiga paling banyak ditonton di Netflix, memecahkan rekod tontonan paling banyak pada minggu pertama ditayangkan dan menduduki tempat pertama dalam senarai 10 siri televisyen bukan Bahasa Inggeris di 92 negara.
Squid Game Musim 3 bakal menyampaikan permainan terakhir yang lebih mendebarkan buat pemain yang masih terselamat dan pasti tidak akan dilupakan pengakhirannya.
Baca juga: