KUALA LUMPUR: Rayuan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie, untuk mengetepikan perintah bankrap terhadap dirinya tidak berjaya apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada Jumaat.
Teruskan MembacaMahkamah turut menolak permohonan Jovian untuk menggantung perintah kebankrapan tersebut dan memerintahkannya membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak pemiutang, iaitu Cekap Air Sdn Bhd.
Menurut peguam syarikat berkenaan, keputusan itu dibuat dalam prosiding di hadapan Hakim Jamhirah Ali.
Sebelum ini, pada 3 Julai tahun lalu, mahkamah telah mengisytiharkan Jovian sebagai bankrap selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan oleh syarikat tersebut pada November 2024.
Kes ini berpunca daripada pinjaman persahabatan berjumlah RM5 juta yang didakwa diberikan kepada Jovian pada Februari 2022. Pinjaman tersebut sepatutnya dibayar semula dalam tempoh 12 bulan, namun beliau didakwa gagal melunaskannya.
Jumlah hutang itu kemudian meningkat kepada kira-kira RM5.28 juta termasuk faedah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi melalui penghakiman terus pada April 2024.
Syarikat berkenaan mengambil tindakan undang-undang selepas mendakwa pinjaman yang dibuat atas dasar kepercayaan itu tidak dibayar semula walaupun sudah melepasi tempoh yang dipersetujui.
Penghakiman terus terhadap Jovian diputuskan berdasarkan hujahan bertulis tanpa perlu melalui perbicaraan penuh atau pemanggilan saksi. Namun sehingga kini, hutang tersebut didakwa masih belum dijelaskan.
















