Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kesederhanaan sambil menghayati makna sebenar kemenangan selepas sebulan menjalani ibadah puasa.
Menurut beliau, Syawal bukan sekadar perayaan selepas Ramadan, sebaliknya menjadi waktu terbaik untuk mengukuhkan rasa syukur, semangat kebersamaan serta keprihatinan terhadap orang di sekeliling.
Teruskan Membaca“Kehadiran Syawal seharusnya diraikan dengan sederhana dan seimbang, sambil menghargai makna sebenar hari kemenangan yang menekankan nilai kesyukuran, kebersamaan dan keprihatinan antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika singgah meninjau Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya selepas menamatkan lawatan kerja di Kuching pada Jumaat.
Dalam lawatan tersebut, Anwar turut meluangkan masa menyantuni peniaga serta pengunjung yang hadir membuat persiapan menjelang Aidilfitri. Beliau juga sempat bertanya khabar dan mendengar pandangan peniaga serta orang ramai mengenai harga barangan dan sambutan terhadap produk yang dijual.
Menurutnya, suasana meriah di festival itu jelas menunjukkan kreativiti dan usaha usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai produk seperti pakaian, makanan, aksesori dan juga cenderamata.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa penganjuran festival seperti ini mampu membantu menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana, selain merancakkan lagi ekonomi tempatan.
















