Selepas agak lama menyepi, kumpulan popular era 2000-an, The Fabulous Cats kembali mencuri perhatian apabila melancarkan lagu raya baharu berjudul Satu Syawal.
Kemunculan lagu tersebut sekali gus memberi bayangan bahawa kumpulan itu mungkin bakal kembali aktif dalam industri muzik tempatan, sesuatu yang pastinya menggembirakan peminat lama mereka.
Teruskan MembacaMenurut Cat Farish, lagu tersebut sebenarnya bukan karya baharu sepenuhnya kerana ia sudah dihasilkan sejak sekitar tahun 2014 lagi bersama komposer Adeeb. Namun ketika itu, lagu berkenaan belum sempat dilancarkan secara rasmi kepada umum.
Apa yang menjadikan Satu Syawal lebih istimewa adalah nilai sentimental di sebalik pembikinannya. Lagu ini turut melibatkan beberapa rakan seperjuangan mereka termasuk arwah Lok Yu, Kelly dan Abang Aji yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik kumpulan itu.
Dari segi mesej pula, lagu raya ini membawa kisah yang cukup dekat dengan kehidupan ramai orang hari ini. Ia menyentuh tentang kesibukan mengejar kerjaya sehingga ada yang terlupa meluangkan masa bersama keluarga.
Ada juga yang menangguhkan niat untuk pulang ke kampung, tanpa sedar mungkin ada insan tersayang yang menunggu kepulangan mereka setiap kali tibanya Syawal.
Dalam masa sama, Cat Farish menjelaskan mereka tidak meletakkan tekanan untuk kembali terlalu aktif seperti dahulu. Sebaliknya, mereka lebih selesa melihat bagaimana rezeki dan peluang yang datang selepas ini.
Tambahnya lagi, beberapa ahli kumpulan masih sibuk dengan komitmen lain dalam industri termasuk projek bersama kumpulan Ruffedge, kerja produksi muzik serta projek solo bersama artis lain.
Namun dengan pelancaran Satu Syawal, ramai peminat mula berharap ia menjadi permulaan kepada kemunculan semula The Fabulous Cats dengan lebih banyak karya baharu selepas ini.
















