Pelakon dan pengacara popular, Scha Alyahya, mengakui sambutan Aidilfitri kali ini masih terasa berbeza apabila dia masih bergelut dengan perasaan kehilangan ibu tercinta.
Menurut Scha, meskipun sudah memasuki tahun kedua beraya tanpa insan tersayang itu, rasa kosong tetap ada dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah, momen-momen kecil sepanjang persiapan raya sering menjadi pengingat kepada kenangan lama bersama arwah ibunya.
Teruskan Membaca“Kadang-kadang benda simple pun boleh buat saya teringat. Dulu kalau tak pasti sesuatu, boleh terus telefon ibu. Sekarang dah tak ada,” kongsinya jujur.
Tambahnya lagi, dia kini masih berada dalam fasa untuk menyesuaikan diri dengan kehilangan tersebut. Scha juga mengakui ada ketika dia memilih untuk ‘menahan’ emosi, bukan kerana tidak sedih, tetapi demi menjaga suasana agar tidak menjadi terlalu sayu, khususnya di hadapan keluarga.
Dalam pada itu, Scha turut berkongsi bagaimana anak-anaknya mula bertanya mengenai nenek mereka, yang secara tidak langsung menyentuh perasaannya. Walaupun sukar, dia tetap berusaha untuk kekal kuat dan positif demi anak-anak.
Bagi Scha, kehilangan seorang ibu bukan sesuatu yang mudah dilupakan, walaupun masa berlalu. Namun, dia kini cuba untuk lebih menghargai setiap detik bersama keluarga yang masih ada.
“Rasa tu mungkin tak akan hilang sepenuhnya… tapi saya cuba untuk teruskan hidup dan hargai apa yang ada sekarang,” ujarnya.
















