Jumpa idola sendiri memang jadi impian ramai, dan itulah yang akhirnya jadi kenyataan buat Yonnyboii apabila dia berpeluang bertemu dengan figura rap legenda, Malique.
Momen tersebut berlaku selepas proses rakaman lagu Tanya Tuhan, namun pertemuan itu bukanlah sesuatu yang biasa. Yonnyboii mendedahkan dia perlu mematuhi beberapa syarat ketat sebelum dapat bersemuka dengan Malique, termasuk menandatangani perjanjian. Antara syarat yang dikenakan adalah tidak dibenarkan mengambil gambar, berkongsi lokasi pertemuan atau membawa individu lain bersama.
Teruskan MembacaWalaupun kedengaran eksklusif dan sedikit “strict”, Yonnyboii menganggap peluang itu sebagai satu pengalaman yang sangat bermakna dalam hidupnya. Bertemu dengan seorang figura yang selama ini hanya dikenali melalui karya sememangnya memberi perasaan berbeza, malah dia sendiri mengakui berasa gugup ketika berdepan dengan Malique.
Lebih menarik, pertemuan itu bukan sekadar sesi berkenalan biasa. Malique turut berkongsi nasihat mengenai industri muzik, termasuk kepentingan untuk menghasilkan karya yang jujur dan tidak terlalu terikat dengan pandangan orang lain. Bagi Yonnyboii, kata-kata tersebut memberi inspirasi besar dalam perjalanan seninya.
Dalam perkembangan sama, Yonnyboii juga tampil dengan karya terbaharu berjudul INFINITI (KAMI UP) bersama Kidd Santhe, yang turut melibatkan sentuhan Malique sebagai pencipta lagu.
Dengan peluang rare seperti ini, tidak hairanlah Yonnyboii menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu rezeki besar, bukan sahaja dapat bertemu idola, tetapi juga membawa pulang ilmu yang cukup bernilai dalam dunia muzik.
















