Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang wanita 19 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan bayi perempuan di Taman Universiti, Skudai, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Radin Ramlan Radin Taha berkata, kedua-dua mereka ditahan sekitar jam 2.15 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah.
Teruskan MembacaMenurut beliau, hasil semakan mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing yang dijalankan turut menunjukkan keputusan negatif.
“Kedua-dua suspek kini ditahan untuk membantu siasatan sebelum dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada 14 April 2026 bagi permohonan reman,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang atau menyembunyikan bayi dengan niat untuk meninggalkannya, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam masa sama, pihak polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta terus mematuhi undang-undang demi keselamatan dan ketenteraman awam.
















