Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam supaya terus menghayati nilai tawaduk, kesederhanaan dan keikhlasan yang menjadi inti pati ibadah korban serta perjalanan Haji.
Menurut beliau, Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi membawa makna besar melalui kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s yang menjadi simbol ketaatan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Teruskan MembacaAnwar berkata, setiap pengorbanan yang dilakukan dalam kehidupan mempunyai nilai tersendiri dan boleh diterjemahkan dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan negara, bidang pendidikan serta kehidupan beragama demi masa depan yang lebih baik.
Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai hikmah ibadah Haji yang menurutnya sarat dengan pengajaran rohani untuk membentuk jiwa yang lebih sederhana dan tidak terlalu mengejar kemewahan dunia.
Katanya, saat berihram, semua jemaah meninggalkan simbol status, kemewahan dan kedudukan, manakala ketika wuquf di Arafah, seluruh umat berhimpun tanpa membezakan pangkat atau darjat — sekali gus mengingatkan manusia tentang hakikat kehidupan di sisi Allah.
Beliau turut mengajak umat Islam mengambil iktibar daripada pengalaman tersebut dengan mengamalkan sikap rendah diri dan tidak terlalu terikat dengan keindahan dunia yang bersifat sementara.
Mengakhiri perutusan, Anwar turut menitipkan doa agar semua jemaah Malaysia yang sedang berada di Tanah Suci dipermudahkan urusan, dikurniakan haji mabrur dan kembali ke tanah air dalam keadaan selamat serta sejahtera.
















