Selepas lebih tiga dekad menanti, penyanyi popular era 90-an, Nourul akhirnya merealisasikan impiannya menerusi konsert sulungnya, For You, yang berlangsung penuh meriah di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu malam.
Di hadapan lebih 1,000 peminat, Nourul membuktikan vokalnya masih mantap seperti dahulu. Membawakan sebanyak 22 buah lagu, persembahan malam itu sarat dengan elemen nostalgia yang mengimbau kenangan para peminat setianya.
Teruskan MembacaAntara lagu yang mencuri perhatian ialah Kerana Terluka, lagu yang menjadi titik permulaan perjalanan seninya dan terus dekat di hati peminat sehingga hari ini.
Tidak hanya menyanyikan lagu sendiri, Nourul turut menghadiahkan segmen khas sebagai penghormatan kepada artis-artis yang pernah menjadi inspirasinya. Menerusi segmen itu, beliau menyampaikan lagu-lagu popular seperti Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku, Madah Berhelah dan Sembilu.
Sepanjang konsert berlangsung, Nourul turut menceriakan suasana dengan selingan gurauan yang mengundang gelak tawa penonton.
“Dulu kalau konsert, minta penonton nyalakan lighter. Sekarang buka lampu telefon saja,” katanya berseloroh.
Malam istimewa itu turut diserikan dengan kemunculan Mimi Fly yang menghiburkan penonton menerusi lagu Temberang sebelum bergandingan bersama Nourul menyampaikan beberapa lagu popular termasuk Persamaan, Maafkanku dan Keliru.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan khas Zachary Depp yang mendendangkan lagu Joget Kenangan Manis, lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Menurut Nourul, konsert tersebut merupakan impian yang telah lama dipendam sejak 32 tahun lalu.
“Impian dan perancangan saya akhirnya tercapai selepas 32 tahun,” katanya penuh emosi.
Menutup tirai persembahan, Nourul tampil anggun dalam busana kuning berkilauan sambil menyampaikan Kerana Terluka, sekali gus mengakhiri malam penuh kenangan bersama para peminat.
Antara selebriti yang turut hadir memberikan sokongan ialah Ning Baizura, Ziana Zain, Fauziah Latiff, Sharifah Shahira, Azah Aziz dan Khaty Azian.
















