Pelakon dan pengacara Scha Alyahya mengakui dirinya lebih tegas dalam soal mendidik anak-anak berbanding suaminya, Awal Ashaari yang disifatkan mempunyai pendekatan lebih santai.
Menurut Scha, perbezaan cara mereka membesarkan anak-anak bukanlah satu masalah, sebaliknya membantu mewujudkan keseimbangan dalam keluarga.
Teruskan Membaca“Saya rasa cara Awal lebih chill dan santai. Saya pula macam typical Asian mom, semua benda saya nak pastikan dilakukan dengan betul.
“Bila ada perbezaan macam itu, kita boleh tengok pendekatan mana yang lebih sesuai mengikut keadaan. Saya rasa bagus juga sebab ia buat cara didikan kami lebih seimbang,” katanya.
Dalam masa sama, Scha turut mengakui dia kini sedang berdepan fasa yang agak mencabar apabila anak sulungnya, Lara Alana bakal menduduki peperiksaan penting.
Katanya, dia mengambil serius perkara tersebut sehingga meminta Awal memainkan peranan untuk menasihati Lara agar lebih fokus terhadap pelajaran.
“Sekarang ini saya memang agak risau sebab Lara akan menduduki peperiksaan besar. Saya ambil perkara itu serius.
“Saya juga minta Awal tegur dan ingatkan Lara supaya belajar bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya bukan saya seorang saja yang nampak tegas,” ujarnya.
Pada masa sama, Scha meluahkan rasa syukur kerana Lara tidak pernah merungut walaupun menjalani rutin harian yang padat.
“Saya bersyukur sebab Lara bukan jenis yang suka mengeluh. Walaupun jadual dia agak padat setiap hari, dia tetap jalani semuanya dengan baik.
“Sebagai ibu, saya memang risau dan kasihan kalau dia terlalu penat, tetapi setakat ini dia nampak okey,” katanya lagi.
Untuk rekod, Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Lara Alana yang kini berusia 12 tahun dan Lyla Amina, lima tahun.
















